mutakhir

Bot pendatang dipintas APMM

Shah Alam: Seramai 11 pendatang tanpa izin yang cuba menyusup masuk ke Malaysia melalui laluan laut gagal apabila bot dinaiki ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 4 Klang petang Sabtu lalu.

Pergerakan mereka dikesan kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan anggota APMM yang sedang membuat rondaan berhampiran perairan Kuala Selangor.

Semua mereka yang menaiki sebuah bot kayu berjaya dipintas pihak APMM sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Difahamkan, kumpulan pendatang tanpa izin terbabit berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dan mereka dipercayai ingin mendarat di Sekinchan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah (KPMD) Kapten Maritim Mohd Aliyas berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 11 penumpang termasuk seorang wanita dan mereka berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun.

“Hasil siasatan mendapati semua pendatang tanpa izin terbabit tidak mempunyai sebarang permit perjalanan sah dan mereka ini kemudiannya dibawa ke jeti APMM D4.

“Selepas selesai proses soal siasat itu, mereka kemudian dihantar ke Lokap Balai Polis Shah Alam untuk proses tahanan reman. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dari masa ke semasa bagi membendung serta membanteras aktiviti kemasukan pendatang tanpa izin di negeri ini.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:10am
d