mutakhir

PERHILITAN pindah gajah sesat

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memindahkan seekor gajah jantan seberat 2.3 tan metrik yang ditangkap lima hari lalu di Kampung Air Putih, dekat sini, ke Taman Negara, tengah hari tadi.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata, haiwan itu ditangkap kakitangan jabatan berkenaan ketika merayau dalam kebun kelapa sawit dan ditempatkan di satu kawasan berhampiran sebelum dipindahkan.

Beliau berkata, operasi memindahkan gajah berusia 20 tahun itu membabitkan 20 kakitangan PERHILITAN dengan 10 daripadanya dari Kuala Terengganu dan 10 lagi dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

"Kami mengambil masa dua jam untuk menaikkan gajah berkenaan ke atas lori. Dua ekor gajah betina yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, turut digunakan untuk memujuk gajah berkenaan.

"Operasi bermula jam 9 pagi dan tamat kira-kira 11 pagi. Kami terpaksa menempatkan dulu gajah berkenaan di kawasan berhampiran ia dijumpai dan hanya memindahkannya ke Taman Negara selepas lima hari berikutan kekurangan kakitangan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Yusoff berkata, gajah berkenaan ditangkap ketika merayau dalam kebun kelapa sawit milik penduduk kampung dengan menembaknya menggunakan senapang dan peluru pelali.

"Kami diberitahu gajah itu selalu masuk kekawasan kebun penduduk kampung dan merosakkan tanaman kelapa sawit bersama dua ekor lagi gajah. Bagaimanapun, ketika ditangkap, dua ekor gajah terbabit lari ke hutan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk kampung dan pemilik kebun kelapa sawit supaya segera melaporkan kepada PERHILITAN sekiranya terdapat gajah liar mengganggu tanaman mereka selain tidak mengambil tindakan sendiri termasuk meracun haiwan liar berkenaan.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 7:31pm
d