mutakhir

Alahai cucuku...

Butterworth: Seorang wanita warga emas bukan saja berdepan masalah akibat penyakit kencing manis serius hingga ibu jari kaki kanannya terpaksa dibuang, selain turut mengambil suntikan insulin, malah terpaksa membesarkan lima cucunya berusia antara enam hingga 17 tahun dalam serba kedaifan.

Warga emas terbabit, Jahara Bibi Wan Joo Mohaideen, 61, berkata, dia mengambil alih tugas menjaga cucunya apabila anak perempuannya, Suhaini Madin, 36, menghilangkan diri sejak enam tahun lalu.

“Sewaktu anak kelimanya masih bayi, dia keluar dari rumah tanpa pesan atau meninggalkan belanja buat anaknya. Malah, menantu saya yang juga bapa kepada lima anak itu turut menghilangkan diri.

“Sejak ketiadaan mereka, saya yang mengambil alih tugas menjaga lima cucu terbabit. Saya menghidap kencing manis sejak lima tahun lalu dan ia semakin serius sejak dua tahun lalu hingga ibu jari kaki kanan dipotong dan bergantung kepada suntikan insulin setiap hari menyebabkan tidak mampu lagi menguruskan kelengkapan harian termasuk menyediakan makan minum buat cucu,” katanya ketika menerima kunjungan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh di rumah mereka di Seberang Jaya, kelmarin.

Jahara berkata, kehidupan mereka enam beranak itu bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan manakala Zakat Pulau Pinang (ZPP) menghulurkan bantuan bulanan berjumlah RM300.

Berikutan kesempitan hidup dialami mereka, lima cucunya yang masih bersekolah itu kerap mengikat perut ke sekolah kerana warga emas berkenaan tidak dapat memberi wang belanja.

“Lebih memeritkan, seorang cucu saya, Nurul Fazlin Abdullah, 13, kini bekerja di kedai komputer berhampiran kerana enggan ke sekolah sejak Mei lalu selepas sering kali diejek rakan sekolahnya kerana kemiskinan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper makanan kepada keluarga terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha memohon peruntukan di bawah Yayasan Pelajaran MARA bagi membantu menampung perbelanjaan persekolahan cucu wanita terbabit.

“Selain itu, bantuan kelengkapan persekolahan akan diberikan kepada empat cucunya yang masih bersekolah pada hujung tahun ini bagi memulakan sesi persekolahan baru pada tahun hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2014 @ 5:07am
d