mutakhir

Dibelasah angkara gurauan melampau

Georgetown: Gurauan melampau seorang pekerja pencuci membuatkan rakannya berang sebelum dia diketuk dengan balang kaca dalam satu kejadian di tingkat tiga sebuah hotel di Jalan Gemas, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 42 tahun itu pengsan dan menerima sembilan jahitan di kepala akibat kecederaan itu.

Menurut sumber, ketika kejadian, dua rakan sekerja terbabit mencuci pinggan dan mereka bergurau selain saling mengutuk antara satu sama lain.

“Namun, mangsa dikatakan bergurau dengan mengeluarkan perkataan melampau hingga menimbulkan kemarahan rakannya.

“Rakan mangsa yang tidak tahan mendengar gurauan itu melepaskan geram dengan mengetuk kepala mangsa tiga kali menggunakan balang kaca,” kata sumber itu di sini, semalam.

Sumber berkata, akibat kejadian itu, mangsa pengsan sebelum dia dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dia hanya tersedar selepas beberapa jam mendapatkan rawatan.

“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa dan mengenal pasti suspek yang mengetuk kepalanya dengan menggunakan balang kaca itu,” katanya.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang juga pekerja pencuci yang berada di lokasi kejadian ketika itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Disiarkan pada: October 23, 2014 @ 5:09am
d