mutakhir

Rumah graduan RM200,000

Putrajaya: Berita baik buat golongan lepasan ijazah dan pasangan baru berkahwin apabila kerajaan akan membangunkan satu projek perumahan di bawah harga RM200,000 bagi membantu mereka untuk memiliki kediaman sendiri.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perbincangan mengenai projek perumahan itu sudah diadakan bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTG WP).

Menurutnya, tanah untuk melaksanakan projek pembangunan berkenaan sudah dikenal pasti, namun beliau tidak mengumumkannya buat masa ini.

“Kita belum mempunyai nama untuk program perumahan berkenaan sama ada rumah mampu milik atau rumah murah, tetapi perancangan untuk kediaman berharga bawah RM200,000 itu memang sudah ada.

“Keluasan bagi setiap rumah juga akan ditentukan dan kita akan membangunkan seberapa banyak rumah atas tanah berkenaan bergantung kepada pihak pemaju,” katanya selepas majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Pandanmas 2, semalam.

Tengku Adnan berkata, maklumat lanjut berhubung projek pembinaan rumah untuk golongan lepasan ijazah dan pasangan baru berkahwin itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, program perumahan yang dilaksanakan itu adalah sejajar dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan rakyat menikmati keselesaan dalam kehidupan.

Mengenai majlis pelancaran semalam, Tengku Adnan berkata, projek perumahan RUMAWIP Residensi Pandanmas 2 dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2018 meliputi kira-kira 2,220 unit rumah.

Katanya, fasa kedua pengundian semalam membabitkan 200 unit rumah kepada pembeli layak dan peluang masih dibuka kepada warga Wilayah Persekutuan untuk membeli 1,720 unit rumah.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:08am
d