mutakhir

13 suspek didakwa rancang sertai IS

Kuala Lumpur: “Seramai 13 daripada 40 suspek yang disyaki merancang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria sudah didakwa di mahkamah,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menahan 40 suspek yang disyaki merancang menyertai kumpulan IS sejak Februari tahun lalu hingga kini.

Katanya, mereka yang ditahan itu bertanggungjawab merekrut dan memberi latihan ala ketenteraan kepada rakyat Malaysia yang lain sebagai persiapan sebelum ke Syria.

“Seramai 13 daripada mereka didakwa iaitu 11 individu dituduh melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala dua lagi mengikut Akta Senjata Api 1971.

“Manakala 15 lagi individu masih dalam siasatan polis dan 12 lagi dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti mencukupi untuk didakwa atas kesalahan berkaitan,” katanya.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras kepada golongan muda supaya menghentikan niat ke Syria bagi menyertai IS.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berhenti memerangi pihak yang cuba merekrut atau memujuk belia negara bagi menyertai IS.

Beliau memberi amaran menahan sesiapa sahaja yang dipercayai terbabit kumpulan IS tanpa mengira status dan jawatan.

Pada 15 Oktober lalu, 14 suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah restoran di Shah Alam dan Damansara, Selangor.

Seorang individu ditahan adalah jurutera yang memegang jawatan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:08am
d