mutakhir

Hanya mati sia-sia

Kuala Terengganu: Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-106 di sini, semalam, menetapkan penduduk negara ini yang terbunuh ketika berjuang bersama kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria, tidak tergolong syahid dan hanya mati sia-sia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu juga dipersetujui seluruh ulama di seluruh dunia.

Beliau berkata, segelintir masyarakat Islam di negara ini masih keliru berhubung konsep jihad dan syahid sebenar.

“Kefahaman yang dipegang golongan berkenaan tidak selari dengan syarak. Majlis Fatwa merumuskan hasil kajian dijalankan dan hujah berasaskan nas syarak mengenai jihad bersama IS adalah perbuatan sia-sia dan tidak dikategorikan syahid sekiranya mereka mati ketika berperang.

“Malah, semua ulama di seluruh dunia sepakat mengenainya dan keputusan secara terperinci mengenai isu IS dikeluarkan Jawatan kuasa Fatwa sebagai panduan kepada seluruh umat Islam di negara ini,” katanya selepas Majlis Multaqa Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, selain resolusi berkaitan Jihad IS, Majlis Fatwa menetapkan penganjuran acara menyentuh anjing itu bersifat melawan arus perdana umat Islam di negara ini yang berpegang kepada Mazhab Syafie.

“Mazhab Syafie melarang sekeras-kerasnya orang Islam memegang anjing tanpa sebarang sebab contohnya ketika darurat atau alasan yang membolehkan mereka berbuat demikian.

“Islam memuliakan haiwan termasuk anjing, tetapi di dalam aspek hukum, umat Islam perlu mematuhi ketetapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Fatwa merumuskan perbuatan menderma rahim tidak diharuskan kecuali dalam situasi memaksa atau darurat.

“Isu ini turut dibincangkan dalam majlis muzakarah kali ini berikutan sudah ada orang yang menderma rahim untuk tujuan tertentu termasuk untuk memperoleh anak.

Menyentuh mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata, Majlis Fatwa menetapkan ia boleh dilaksanakan kerana adalah harus bagi kerajaan mengutip cukai bagi tujuan kebaikan bersama, tetapi perlu dilaksanakan berlandaskan hukum syarak.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:09am
d