mutakhir

Hijrah dengan ilmu bukan hanya ikutan

Berubah mesti dengan kefahaman ilmu yang betul. Tidak di atas dasar sangkaan atau ikut-ikutan. Orang lain buat, kita buat. Kalau majoriti tolak, kita pun tolak. Itu tidak benar sama sekali. Kelak akibatnya hanya akan membawa kepada masalah yang lebih besar atau lebih buruk daripada itu, ia mengundang fitnah kepada masyarakat, apatah lagi kepada agama Islam yang murni.

Hari ini adalah hari terakhir bagi tahun 1435 Hijrah. Petang ini nanti kita umat Islam akan memasuki lembaran tahun hijrah yang baharu, 1436 Hijrah. Pastinya ramai kalangan umat Islam yang merasakan bahawa masa begitu pantas berlalu. Belum selesai segala azam tahun ini, dah sampai pula tahun yang baharu.

Amat sinonim awal tahun hijrah ini dengan sambutan Maal Hijrah. Memperingati peristiwa hijrah junjungan besar Rasulullah SAW bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Dengan rangka strategi perjalanan yang tepat, dibantu dengan modus operandi yang disokong oleh sebahagian sahabat baginda menatijahkan hasil transformasi gemilang dalam perkembangan Islam.

Rasulullah tidak meneka-neka keadaan Yathrib atau Madinah. Main rasa-rasa ikut logik. Tidak sama sekali. Dengan sifat realistik dan fatonah baginda terhadap bumi Madinah yang agak berlainan dari segi geografi, komposisi kaum khasnya golongan Yahudi serta tradisi budayanya berbanding dengan kota Makkah, baginda membuat ‘groundwork’ terlebih dulu.

Dihantar utusan, dicari maklumat tepat berhubung penduduk dan sebagainya. Semuanya itu menjadikan hijrah baginda berjaya sehingga dijadikan sebagai asas takwim Islam oleh Saidina Umar al-Khattab pada zaman khilafahnya hingga kekal ke hari ini.

Perubahan satu fitrah

Apa mesej utama daripada peristiwa agung ini? Mesejnya ialah berubah dan melakukan perubahan itu satu fitrah dan ketetapan azali yang pasti berlaku dan mesti dilakukan oleh manusia. Dan kepentingan bertransformasi ke arah kebaikan inilah yang akan hidup sifatnya hingga kiamat.

Malah, dengan kebijaksanaan Allah SWT, Dia jalankan perubahan pada kitaran hidup manusia sedari awal kejadian sebagai bayi hinggalah kita dewasa dan tua. Sedar atau tidak, itu adalah hakikat sifat hijrah. Iaitu berubah dan mengalami perubahan .

Lebih penting daripada itu sebenarnya adalah dalam kita berubah dan mengubah kehidupan, sewajibnya kita bergerak kepada suasana yang lebih baik berasaskan kepada ilmu pengetahuan dan kefahaman yang jelas atas apa yang hendak kita lakukan. Tahu pada kepentingan dan keperluannya. Rangka strategi pelaksanaannya. Jelas dengan batas dan had yang digariskan.

Antara objektif program ‘I Want To Touch A Dog’ ialah agar hilang rasa takut padanya. Ditambah pula dengan objektif untuk mengajar perbezaan di antara proses sertu dan samak. Persoalannya, perlukah kita pada program seumpama itu? Adakah kita dalam keadaan terdesak hingga perlu pada acara sentuhan ini? Tidak berlaku pula sebarang demo atau proses samak dalam menjelaskan perbezaan antara keduanya.

Islam sanjung sifat berani

Penulis yakin dengan demo secara praktikal bagaimana proses sertu itu dilakukan tanpa wajib menyentuh anjing juga ia sudah memadai. Adat tradisi ketimuran tidak tergugat. Malah, rasa hormat pada pegangan hukum agama juga akan terpelihara. Kewajaran berhijrah daripada rasa takut yang tidak berasas kepada sifat berani yang hak adalah sesuatu yang wajar. Cuma kewajaran program dalam merasionalisasikan transformasi itu kita persoal.

Islam sanjung sifat berani untuk pertahan kesucian agama. Malah, dijanjikan syurga sebagai galang gantinya. Namun dalam melaksanakan perubahan dan tranformasi ini kita dapati sebahagian daripada mereka lari daripada landasan Islam sebenar.

Penyelewengan atas nama agama sebagaimana yang berlaku pada Islamic State (IS) antara contoh yang jelas. Prinsip Islam yang murni jelas disalahertikan demi mencapai apa yang diperjuangkan. Apa kesannya? Islam dan umat Islam dilihat sebagai kelompok yang zalim dan juga menindas. Fitnah terhadap agama berlaku yang berpunca daripada umat Islam sendiri.

Atas dasar inilah kita tegaskan kepada semua individu Muslim dan umat Islam dunia agar merenungi dan memahami dengan sedalam-dalamnya apa yang tersirat daripada wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5 itu. Dua kali Allah menyebut perkataan ‘iqrak’. Pasti ada sesuatu yang hendak Allah sampaikan pada manusia.

Dilihat pada ayat kelima pada surah berkenaan, Allah dengan jelas membayangkan persoalan perubahan atau sifat hijrah yang berlaku mesti di atas landasan ilmu yang pasti dan mapan. Allah ajar manusia daripada peringkat tidak tahu kepada satu peringkat mengetahui sesuatu.

Dilihat pada mata kasar masyarakat moden hari ini, perubahan yang bersifat lahiriah amat-amat diambil kira sebagai satu asas ukuran transformasi diri. Jenama pakaian yang dipakai, kereta mewah yang dimiliki, saham pelaburan serta aset hartanah yang meningkat. Inilah antara kelaziman yang dijadikan ukuran. Tidak salah pada asasnya. Namun, matlamat dan tujuan dalam mendapatkannya perlu diperhalusi agar sejajar dengan kehendak agama serta tidak mencarik adat budaya setempat.

Pujangga Arab menyebutkan, “Tidaklah kemuliaan itu diukur pada umur yang panjang dan harta yang banyak. Tetapi kemuliaan itu diukur pada kefahaman ilmu dan tutur kata yang baik.”

Sewajarnya sambutan Awal Muharam esok ditambah semangat Maal Hijrah, kita mesti berubah pada tahap yang lebih mulia pada pandangan agama. Kita tidak mahu lahiriahnya moden dengan teknologi tetapi nilai kemanusiaan makin pudar.

Rasulullah mengingatkan kita dengan sabdanya, “Sesungguhnya Allah SWT amat cintakan seseorang daripada kamu yang apabila mengerjakan sesuatu, dikerjakannya dengan teliti (bersungguh-sungguh).”

Persoalannya apakah kesungguhan yang sudah kita sumbangkan untuk perkembangan dan kemajuan agama Islam kita selama ini? Timbang-timbangkanlah.

Penulis pensyarah di Universiti Multimedia, Melaka

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:09am
d