mutakhir

4 mengaku cuba beri rasuah

Limbang: Kerana cuba memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), dua pengurus syarikat pembalakan dan dua kontraktor balak didenda antara RM10,000 hingga RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Semua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa SPRM berkenaan bagi melindungi aktiviti pembalakan haram yang mereka lakukan di sekitar bahagian ini, September lalu.

Dua pengurus terbabit Ngu Kok Tung, 37, dan Tang Chung Yieng, 28, masing-masing dari syarikat Ramas Megamas Sdn Bhd dan Rise Sdn Bhd didakwa cuba merasuah RM300 dan RM1,000 kepada Penolong Kanan Penguasa Risikan SPRM Sarawak Sendry Ugi.

Bayaran itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap bot tunda ‘Riki 15’ dan ‘Barge Goald Coast Jaya 2’ yang didakwa melakukan kesalahan memindahkan balak tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Selain itu, bayaran diberikan sebagai cubaan mengelak tindakan diambil terhadapnya kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah dengan kedua-dua kesalahan dilakukan di Jalan Lorong Punang 2, Lawas, pada 1 September lalu.

Berikutan pengakuan bersalah itu, Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap kedua-dua pengurus terbabit.

Sementara itu, dua kontraktor balak Ting Chuong Mew, 72, dan Pau Yu Tek, 54, mengaku salah atas pertuduhan cuba memberi rasuah masing-masing sebanyak RM1,000 dan RM10,000 kepada pegawai Bahagian Risik, PGA Batu Kawa, Kuching Asisten Superintendan Pabilah Abdullah.

Kedua-dua bayaran itu dibuat pada 10 September lalu, Pekan Lawas, Lawas, sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan terhadap Log Pond Hariyama Sdn Bhd, kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pembalakan haram.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:12am
d