mutakhir

Gembira TMJ bertemu jodoh

Johor Bahru: Pernikahan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, dengan gadis pilihannya, Cik Khaleeda Bustamam, 21, hari ini menggembirakan rakyat jelata termasuk ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Presidennya Azman A Jalil berkata, dia mengikuti perkembangan Tunku Ismail sejak dulu lagi dan gembira selepas mengetahui hasrat putera sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu menamatkan zaman bujangnya.

“Tunku Ismail sememangnya seorang putera raja yang berjiwa rakyat kerana tidak meletakkan kedudukannya sebagai halangan untuk mendekati rakyat.

“Malah, Tunku Ismail sering menghubungi pengurusan kelab bagi mengetahui perkembangan dan sebagainya meskipun ketika berada di luar negara.

“Sudah tentu saya dan ahli kelab yang lain gembira dan berharap Tunku Ismail berbahagia dengan pasangannya dan segera menimang cahaya mata,” katanya.

Seorang lagi ahli kelab Azmin Eusope, 41, dari Kampung Bendahara berkata, dia turut tidak terkecuali mengikuti perkembangan Tunku Ismail dan amat gembira dengan keputusan putera raja itu untuk mengakhiri zaman bujangnya.

“Sebagai rakyat Johor, saya tumpang gembira sebaik mengetahui Tunku Ismail bertemu pilihan hatinya dan akan melangsungkan pernikahan esok (hari ini).

“Tiada lain yang saya harapkan kecuali Tunku Ismail memperoleh kebahagiaan bersama pasangannya,” katanya.

Sementara itu Muhammad Faris Semail, 23, dari Muar berkata, sebagai rakyat Johor dia gembira apabila Tunku Mahkota Johor akan mendirikan rumah tangga dengan rakyat biasa.

“Saya berharap semua urusan dipermudahkan, jodoh berkekalan dan dikurniakan zuriat yang sihat untuk mewarisi kesultanan Melayu Johor.

“Tunku Ismail bukan saja berjaya menyatukan rakyat melalui bola sepak, malah saya yakin dapat membimbing rakyat menempuh pelbagai cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:13am
d