mutakhir

Pengguna marah, tertipu

Kuala Lumpur: “Kami mahu syarikat pemborong yang melakukan penipuan beras subsidi itu segera diheret ke muka pengadilan! Sudahlah menipu dengan menjual beras hancur kepada kami, mereka buat untung pula sehingga berlipat ganda.”

Demikian reaksi pengawal keselamatan, Mohd Asri Mohd Saad, 46, yang terkejut dengan pendedahan muka hadapan Harian Metro, semalam mengenai sikap segelintir pemborong beras yang mengaut untung sehingga RM12 juta sebulan dengan memanipulasi penjualan 30,000 tan beras Subsidi Tempatan 15 (ST15).

Menurutnya, sebagai pengguna beras ST15, dia berasa tertipu dan tidak menyangka ada pihak menyalahgunakan beras subsidi kerajaan itu untuk kepentingan diri.

“Keadaan ini tidak ubah seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila bukan sahaja hak kami dirampas sehingga kami membeli beras yang lebih mahal, tetapi ia digunakan pula untuk mengaut untung berlipat ganda.

“Saya harap pihak berkuasa menyiasat dan membatalkan lesen syarikat pemborong yang menipu itu, sekali gus mengembalikan 30,000 tan beras ST15 itu ke pasaran untuk dinikmati golongan memerlukan,” katanya, di sini, semalam.

Bagi surirumah, Nurdiana Anuar, 25, selain beras, dia percaya pelbagai lagi bahan keperluan asas lain yang turut mendapat subsidi kerajaan seperti gula dan tepung juga mengalami ‘ketirisan’ yang perlu disiasat.

“Saya pernah beli gula pasir dalam pek satu kilogram tetapi apabila pulang ke rumah, berat yang ditimbang antara 850 gram hingga 950 gram sahaja. Mungkin tidak ramai pengguna yang tahu cara penipuan ini.

“Mungkin penyelewengan ini berlaku terhadap semua barangan keperluan bersubsidi dan pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi,” katanya.

Penuntut universiti, N Devigah, 21, turut mendesak kerajaan memburu syarikat pemborong beras yang terbabit melakukan penipuan itu yang disifatkan membazirkan wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Pandangan sama turut dikongsi penuntut Universiti Teknologi Petronas, Eehuey Choo, 20, yang mendesak Bahagian Industri Padi dan Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serius menangani penyelewengan itu.

“Mereka perlu melakukan pemeriksaan mengejut terhadap semua syarikat pemborong beras dari semasa ke semasa dan bukannya tertumpu kepada syarikat tertentu sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:14am
d