mutakhir

'Tunggu laporan penuh dulu'

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunggu laporan penuh daripada agensi kementerian berkenaan iaitu Bahagian Industri Padi dan Beras berhubung laporan ketirisan subsidi beras dalam penjualan bijirin itu di pasaran khususnya membabitkan ST15.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam jawapan balas ringkas menerusi aplikasi WhatsApp dengan wartawan akhbar ini, semalam berkaitan penyelewengan jualan bijirin makanan ruji majoriti rakyat negara ini.

“Saya menunggu laporan penuh Bahagian Industri Padi dan Beras,” katanya menjawab soalan selepas membaca mesej dan gambar artikel muka depan Harian Metro bertajuk ‘Pembohong Beras’ dihantar wartawan kepada beliau.

Laporan disiarkan semalam dipetik sebagai berkata, setiap bulan dianggarkan 30,000 tan beras subsidi Super Tempatan 15 peratus hancur atau lebih dikenali sebagai ST15 dengan nilai subsidi RM12 juta dipercayai mengalami ‘ketirisan’, sekali gus menyebabkan ia gagal disalurkan kepada rakyat berpendapatan rendah di seluruh negara.

Sumber sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, setiap bulan dipercayai hanya 10,000 tan beras berkenaan yang dibekalkan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) kepada pemborong pada harga subsidi RM1,350 setiap tan berbanding harga tanpa subsidi RM1,750 ‘wujud’ di pasaran.

“Setiap bulan, BERNAS mengedarkan 40,000 tan beras ST15 atau lebih, bergantung kepada kuota ditentukan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) kepada pemborong beras di seluruh negara.

“Mereka pula sepatutnya menjual semua beras itu kepada peruncit dengan pek menggunakan kampit biru 10 kilogram (kg) menggunakan jenama Beras Nasional berharga antara RM16.50 dan RM18.50 mengikut negeri,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2014 @ 5:14am
d