mutakhir

Pesan andaman terakhir

Endau: “Arwah berpesan kepada seorang rakannya supaya mengambil alih kerja mengandam pengantin jika dia tidak sempat pulang esok (hari ini) kerana memenuhi permintaan seorang lagi pelanggan di Kota Tinggi,” kata Rosnah Muda, 17, adik kepada Rosmah, 28, dan Fatimah, 24, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 61.2 Jalan Johor Bahru-Mersing, kelmarin.

Menurut Rosnah, kedua-dua kakaknya itu sepatutya pulang ke Endau hari ini untuk mendandan pasangan pengantin baru di Kampung Air Tawar di sini, tetapi mereka terpaksa menunaikan permintaan pelanggan di Kota Tinggi, semalam kerana tempahan sudah diterima lebih awal.

“Rupa-rupanya pesanan kakak itu petanda dia dijemput Ilahi sebelum sempat menunaikan hasrat kedua-dua pelanggan mereka di Kota Tinggi dan Endau.

“Walaupun kami sekeluarga terkejut dengan kejadian itu, kami reda dengan dugaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Ariffin, di sini, semalam.

Ibu saudara dua beradik itu yang hanya mahu dikenali sebagai Khatijah, 56, berkata, sehari sebelum kejadian Rosmah dan Fatimah meminta maaf kepadanya kerana tidak dapat menunaikan permintaan membeli komputer riba kerana kesuntukan masa.

“Tak sangka permohonan maaf itu adalah yang terakhir,” katanya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Kempit di sini, pagi semalam.

Sementara itu, adik bongsu mereka Nor Syafikah, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin, di sini yang parah kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail dan keadaannya dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: October 25, 2014 @ 5:21am
d