mutakhir

Mercy anjur program kayuhan bantu rakyat Palestin

Shah Alam: Penderitaan penduduk Gaza, Palestin terus mendapat perhatian pelbagai pihak di negara ini yang tidak putus-putus membantu mengumpul dana untuk disalurkan ke negara berkenaan bagi memulihkan keadaan prasarana yang teruk terjejas akibat perang.

Terbaru, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) menghimpunkan 600 penunggang basikal sekitar Lembah Klang dalam Program Kayuhan Kemanusiaan Gaza 2014 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, semalam.

Peserta Mohamad Ramzan Mohd Toha, 36, berkata, dia bangga membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dengan menyertai program kayuhan anjuran Mercy Malaysia.

Katanya, biarpun sumbangannya tidak seberapa tetapi berharap ia dapat memberi seribu bermakna kepada penduduk negara itu yang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya tidak mampu pergi ke sana (Palestin) dan berjuang, tetapi dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan penderitaan penduduk negara itu.

“Saya dan kumpulan berbasikal sering terbabit dalam program berbasikal amal. Di samping melakukan aktiviti sukan, kami gembira kerana dalam masa sama membantu rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, program kayuhan yang diadakan bertujuan mengumpul dana selain memberikan mesej kemanusiaan kepada orang awam serta mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.

“Mereka memerlukan bantuan untuk mengurangkan beban dan sekarang mencari tempat perlindungan dan bantuan dari segi perubatan, membina semula hospital serta membantu menyediakan keperluan asas untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Ahmad berkata, dana daripada acara itu akan disalurkan ke dana bantuan Palestin Mercy Malaysia.

Disiarkan pada: October 26, 2014 @ 5:03am
d