mutakhir

Provokasi agama, bangsa gugat keamanan

Putrajaya: Kegagalan dalam menguruskan perbezaan isu agama dan bangsa boleh menyebabkan negara terjerumus ke kancah konflik perpecahan seperti yang berlaku di negara lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, menguruskan dua isu berkenaan adalah sukar kerana ia sering menjadi sumber provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencipta ruang perpecahan.

Menurutnya, pada zaman Rasulullah SAW, baginda sering menjadikan dua isu itu sebagai agenda penting untuk pembentukan siasah dalam Perlembagaan Madinah.

“Justeru, sempena Sambutan Maal Hijrah, kita perlu menyuburkan ukhuwah sesama ummah selain menjaga hubungan erat rakyat berbilang bangsa memiliki pelbagai resam agama di negara ini.

“Ini bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian dinikmati akan terus terpelihara serta dirasai generasi akan datang,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1436H/2014 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, umat Islam di negara ini diminta tidak mengambil mudah terhadap nikmat keamanan dan kemakmuran yang dianugerahkan.

Katanya, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati membolehkan rakyat di negara ini hidup selesa, bebas bersosial, menjalankan perniagaan, bekerja dan membina keluarga selain memartabatkan agama.

Beliau turut menyeru umat Islam menghayati peristiwa hijrah Rasulullah yang menjadi titik tolak kepada kewujudan sistem bermasyarakat sempurna di dunia.

Disiarkan pada: October 26, 2014 @ 5:03am
d