mutakhir

Hargai keprihatinan AS

Kuala Lumpur: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyokong resolusi yang bakal dibentangkan oleh Malaysia kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal, Kanada susulan pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine.

Ia susulan pertemuan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan rakan sejawatnya iaitu Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat H E Anthony Foxx di Washington, kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Liow yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke negara itu berkata, Kerajaan Malaysia juga menghargai keprihatinan AS selepas tragedi kehilangan pesawat MH370 dan MH17.

“Secara amnya, resolusi ini perlu diadakan bagi membolehkan semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa yang melarang tindakan kekerasan diambil yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan penerbangan awam antarabangsa serta menekankan kepentingan semua negara bagi membantu dan membuat penyelidikan menyeluruh terhadap tragedi itu.

“Ia jelas bahawa masyarakat antarabangsa perlu bekerjasama rapat dan mengambil langkah yang lebih besar ke arah meningkatkan keselamatan dan keamanan di dalam sektor penerbangan awam,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2014 @ 5:06am
d