mutakhir

Kejar untung pinggir bandar

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sikap segelintir pemegang tanah rizab Melayu secara individu yang hanya memikirkan keuntungan dengan cara mudah tanpa memikirkan kesan jangka panjang dilihat antara punca penyusutan saiz tanah rizab berkenaan yang kian kritikal.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak menegaskan faktor itu dilihat antara penyumbang kepada penyusutan saiz tanah terbabit.

“Berdasarkan kajian mendapati tanah rizab Melayu Gred A iaitu berhampiran pusat bandar dan kawasan pembangunan adalah tanah yang paling tinggi mencatatkan penyusutan berbanding tanah gred lain.

“Ini berlaku kerana sikap masyarakat itu sendiri yang hanya memikirkan keuntungan mudah tanpa mengambil kira faktor lain termasuk membangunkan tanah itu sendiri berbanding dijual kepada pihak lain,” katanya selepas menjadi panel dalam majlis Wacana dan Forum Isu Tanah Rizab Melayu, di sini, semalam.

Dr Mohd Hasrol berkata, tanah rizab Melayu hanya tinggal sekitar 11.99 peratus saja dan bacaan itu diperoleh pada 2009 dan mungkin kini, peratusan berkenaan semakin menurun.

Beliau berkata, semua pihak harus memikirkan mekanisme khusus dalam menangani masalah itu dan bukannya menuding jari sesama sendiri kerana ia tidak membantu sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

“Dalam hal tanah ini, ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sukar untuk mengawalnya. Bagaimanapun, kita tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya perlu bersama memikirkan langkah khusus.

“Saya berpendapat penubuhan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu adalah langkah terbaik untuk memulihara tanah berkenaan daripada sebarang eksploitasi ataupun salah guna oleh pihak lain,” katanya.

Menerusi penubuhan itu juga, katanya, suatu undang-undang khas di peringkat persekutuan perlu diwujudkan supaya membolehkan lembaga berkenaan mempunyai bidang kuasa sendiri dalam melaksanakan tugas.

Menurutnya, semua pihak terutama pemegang individu tanah rizab berkenaan perlu mempertahankannya dan tidak melihat cara mudah untuk memperoleh wang kerana perkara itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof yang turut menjadi panel dalam majlis itu turut sependapat dengan Dr Mohd Hasrol supaya suatu mekanisme khusus diambil demi memulihara tanah rizab Melayu.

Beliau berkata, tanah rizab Melayu pada asalnya mempunyai keluasan 12 juta hektar, namun saiz itu menyusut kepada 3.6 juta hektar dan itu bukan statistik terkini, sebaliknya diperoleh beberapa tahun lalu.

Disiarkan pada: October 27, 2014 @ 5:09am
d