mutakhir

Ambil peperiksaan di MRSM berdekatan

Shah Alam: Pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang yang cedera dipukul pelajar seniornya Rabu lalu, akan menduduki peperiksaan akhir tahun di MRSM berdekatan.

Ibu pelajar terbabit, Noraini Jusoh, 47, berkata anaknya tidak akan menduduki peperiksaan akhir tahun di MRSM Balik Pulau memandangkan keadaan kesihatannya yang masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya, lokasi MRSM di mana anaknya akan menduduki peperiksaan hanya akan ditentukan pihak maktab dan anaknya juga mendapat pelepasan daripada maktab daripada menghadiri sesi pembelajaran sehingga keadaannya pulih.

“Pegawai MRSM yang melawat semalam (kelmarin) ada menyatakan anak saya boleh mengambil peperiksaan akhir di MRSM berdekatan memandangkan peperiksaannya itu bermula 3 November ini.

“Walaupun terpaksa menahan kesakitan yang dialaminya, anak saya tetap fokus untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan tarikh peperiksaan semakin hampir,” katanya.

Menurutnya, anaknya juga sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di unit pemantauan trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kelmarin selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya yang semakin stabil.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sekumpulan pelajar tingkatan empat bertindak ala samseng apabila membelasah seorang pelajar junior hingga menyebabkan mangsa terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HTAR Klang selepas tulang rusuknya patah dalam kejadian di asrama MRSM itu, Rabu lalu.

Dalam kejadian antara jam 11.45 malam dan 1 pagi itu, mangsa pelajar tingkatan dua dikatakan dipijak sembilan pelajar senior selain turut dicederakan dengan seterika panas hingga bahunya melecur.

Difahamkan, kejadian berlaku berikutan pelajar senior itu tidak berpuas hati apabila sekumpulan pelajar tingkatan tiga menggeledah bilik mereka untuk mencari kasut rakan mereka bernilai RM400 yang hilang.

Mangsa dikatakan turut berada bersama kumpulan pelajar tingkatan tiga itu menyebabkan dia turut dipersalahkan selepas dipercayai terbabit sama menggeledah bilik pelajar senior berkenaan.

Disiarkan pada: October 27, 2014 @ 5:12am
d