mutakhir

4 peluru tembus kepala

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Norasikin Daineh

Semporna: Empat das tembakan tepat mengenai kepala seorang juragan dipercayai penjenayah yang cuba melarikan diri selepas menyedari kehadirannya dikesan pihak keselamatan dalam kejadian berbalas tembak di kawasan Laut Bangau-Bangau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi, suspek yang belum dikenal pasti identiti yang berusia lingkungan 40-an, ditemui bersama sepucuk revolver jenis .38 Special bersama dua kelongsong dan lima peluru hidup di sisi mayat mangsa yang rebah.

Difahamkan, sepasukan anggota pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Tindakan Khas (UTK) sedang melakukan rondaan serta pemantauan di kawasan itu menggunakan dua bot samaran.

Sumber berkata, pasukan itu kemudian terserempak sebuah bot berwarna biru berjalur merah dengan enjin 40 kuasa kuda (hp) dikemudi suspek dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, sebaik cuba menghampiri, suspek terus bertindak memecut botnya cuba melarikan diri ke Laut Pelabuhan.

“Melihat situasi itu, pasukan keselamatan mengejar bot terbabit. Namun, apabila cuba dipintas, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot dinaiki pasukan keselamatan.

“Pegawai UTK yang berada di dalam bot berkenaan kemudian membalas tembakan sebelum merapati bot dinaiki suspek untuk siasatan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 27, 2014 @ 5:15am
d