mutakhir

Sempat selamatkan tanaman ubi nenek

Rantau Panjang: “Saya hanya sempat bantu nenek selamatkan tanaman ubinya selepas pekarangan rumah dinaiki air,” kata Ina Azwani Mohd Nawi, 17, bercerita mengenai kediaman keluarganya di Kampung Tersang, di sini yang mula dinaiki air sejak pagi semalam.

Kawasan perkampungan itu antara lokasi wajib banjir di daerah itu setiap kali musim tengkujuh berikutan paras air Sungai Golok yang mudah naik dan melimpah memasuki rumah penduduk berdekatan.

Ina Azwani yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, di sini berkata, neneknya Zaharah Awang, 67, mengusahakan kebun ubi kayu, ubi badak dan ubi itik atau dikenali ubi ‘torok’ di belakang rumah mereka untuk dijual.

Katanya, hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan nenek dan abangnya mula menggali ubi yang sudah masak sejak kelmarin bagi mengelak ia rosak akibat banjir.

“Mereka menggali manakala saya tolong mengangkutnya masuk ke dalam rumah sebelum dijual di tepi jalan besar.

“Tidak sangka air naik cepat hingga bahagian luar rumah digenangi air separas lutut,” katanya yang memberitahu ubi dijual pada harga RM2.50 sekilogram.

Sementara itu, ibu Ina Azwani, Norizan Che Soh, 46, berkata, mereka sekeluarga bernasib baik kerana kediaman agak tinggi menyebabkan air terkumpul di luar rumah saja.

Katanya, meskipun sudah biasa menghadapi banjir, keluarganya tetap berjaga-jaga sekiranya paras air Sungai Golok meningkat kerana tidak mahu melakukan persiapan di saat akhir.

Disiarkan pada: October 27, 2014 @ 5:18am
d