mutakhir

Balasan rompak, tikam siswa

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: Lelaki yang merompak hingga mencederakan siswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, bulan lalu menerima hukuman setimpal apabila dipenjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Rahim Othman, 20, dari Taman Mutiara, Batu Berendam, dekat sini, mengekalkan pengakuan salah yang dibuat ketika dihadapkan ke mahkamah pada kali pertama, 25 September lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak sehingga mencederakan Siti Irina Ridzwan, 20, di sebuah apartmen di Jalan Dimensi Utama, di sini, pada jam 6.15 pagi, 10 September lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Terdahulu, peguam bela Yusliza Awal dari Jabatan Bantuan Guaman (JBG) negeri memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya.

Yusliza berkata, pengakuan salah Rahim sejak kali pertama dihadapkan menjimatkan masa mahkamah dan tertuduh juga insaf dengan perbuatannya selain mahu menjaga ibunya berusia 57 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran pada tertuduh dan orang lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:11am
d