mutakhir

Pengawal mengaku salah hadapi tujuh tuduhan

Kota Bharu: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap tujuh tuduhan termasuk mencederakan dan mengugut isterinya serta melakukan pecah rumah, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Nor Hafizi Norman, 22, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 November depan untuk fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencederakan isterinya, Siti Nurliyani Roslee, 18, dengan tangan sehingga mangsa cedera di muka dalam kejadian di dalam kereta Proton Iswara di Jalan Telipot, di sini, jam 11 malam, 21 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa sama di dalam kereta Proton Iswara di Sering, di sini, jam 9.30 malam, 21 September lalu dan untuk kesalahan itu, Nor Hafizi didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad dan Nurliyana Md Zukri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM31,500 dengan seorang penjamin.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:13am
d