mutakhir

Dua lelaki dicekup miliki dadah

Ipoh: Dua lelaki berusia 34 tahun dicekup polis kerana memiliki Methamphethamine, heroin dan ganja dalam dua operasi berasingan di Gerik dan Pulau Pangkor, Lumut dekat sini.

Tangkapan membabitkan suspek pertama dijalankan menerusi operasi khas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BJSN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sebuah rumah di Kampung Ganda Temenggor jam 7.45 pagi pada Jumaat lalu.

Sumber berkata, ketika serbuan dijalankan anggota polis bertugas menemui tiga peket plastik heroin, 11 keratan berbentuk straw berisi heroin dan enam keratan straw berisi 11 pil disyaki dadah metamphetamine.

Menurutnya, kesemua dadah berkenaan dijumpai di dalam beg pinggang dipakai suspek.

“Suspek seorang lelaki berbangsa Melayu difahamkan tidak mempunyai pekerjaan.

“Dadah heroin dengan anggaran berat 30 gram serta methamphethamine seberat 1.36 gram turut dirampas dalam serbuan itu,” katanya.

Dalam operasi berasingan dijalankan BJSN IPD Manjung menahan seorang tokan dadah di sebuah rumah dua tingkat di Sungai Pinang Besar, Pangkor pada Khamis lalu jam 3 petang.

“Seorang lelaki berbangsa India ditahan semasa berada di tingkat atas rumah berkenaan. Ketika serbuan dijalankan suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya ditahan anggota bertugas.

“Pemeriksaan di premis terbabit menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam di bahagian lantai rumah dipercayai dicampak suspek ketika serbuan dijalankan. Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik bahan ketulan dan serbuk berwarna perang disyaki heroin, dua peket plastik serbuk dan ketulan berwarna coklat dadah heroin dengan anggaran berat 72.0 gram,” katanya.

Turut dirampas satu peket plastik berisi ketulan mampat dadah ganja dengan anggaran berat 161.0 gram serta lima tiub straw berisi dadah syabu sebanyak 6.8 gram.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dipercayai tidak terlibat dalam kumpulan kongsi gelap atau pertubuhan haram.

Malah ujian awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati positif morphine.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:13am
d