mutakhir

Kereta disekat bah

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Hujan lebat selama dua jam yang melanda Klang dan Bandaraya Shah Alam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Jalan Sungai Rasau dan Jalan Padang Jawa berhampiran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di sini, dilanda banjir kilat.

Kejadian banjir kilat yang bermula jam 2 petang semalam menyebabkan beberapa laluan mengalami kesesakan terutama di persimpangan lampu isyarat berdekatan kawasan itu.

Salah seorang mangsa, Wan Samsul Ridzuan Wan Idris, 26, berkata, dia sering menggunakan jalan itu berikutan sering melakukan urusan kerja di kawasan Padang Jawa di sini.

“Saya terkejut kerana hujan lebat selama dua jam menyebabkan air naik sehingga melebihi 0.4 meter,” katanya.

Dia yang melakukan urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) di sini, terkejut apabila kereta Toyota Vios miliknya dimasuki air menyebabkan kenderaannya itu tersangkut di dalam banjir.

Seorang lagi pemilik kenderaan, Zulkifli Asrah, 49, berkata, dia meletakkan kenderaannya di Jalan Sungai Rasau berikutan mempunyai urusan di JPJ.

“Banjir kilat itu menenggelamkan kereta saya menyebabkan enjin kereta gagal dihidupkan.

“Masalah banjir kilat ini berlaku akibat pembangunan tidak terancang di kawasan berkenaan. Saya berharap kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikannya,” katanya.

Penduduk Padang Jawa Harun Shah Ahmad Ali, 31, berkata, kejadian banjir kilat sering berlaku sejak tahun 2008 disebabkan oleh masalah saliran perparitan yang mampu menampung kuantiti air hujan.

“Saya berharap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu melakukan sesuatu bagi memastikan banjir kilat tidak berulang,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:13am
d