mutakhir

TPM sokong penuh

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kota Samarahan: Kerajaan akan memberi perhatian terhadap rungutan golongan pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini yang sekian lama menanti kenaikan gaji baru.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah dimaklumkan perkara itu dan memahami keluhan golongan berkenaan yang mahukan kerajaan melakukan semakan semula gaji mereka.

Beliau turut menegaskan akan menyokong seratus peratus kenaikan gaji pensyarah, namun ia berbalik kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk pelaksanaannya.

“Saya tahu sudah lama pensyarah menanti kenaikan gaji kerana guru yang berada di bawah Kementerian Pendidikan sudah menikmati kenaikan dan semakan semula skim gaji.

“Justeru, kerajaan akan mengambil perhatian mengenai perkara itu dan penilaian terperinci akan dibuat bagi melihat kadar yang sepatutnya dibayar kepada pensyarah di negara ini,” katanya ketika sesi Dialog pada Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pendidikan Bersama Warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, semalam.

Sesi perjumpaan khas yang berlangsung kira-kira dua jam itu dihadiri 5,000 warga UNIMAS yang tidak melepaskan peluang berjumpa Muhyiddin dalam lawatan julung kalinya ke UNIMAS.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Turut diutarakan dalam dialog berkenaan adalah isu mengenai penguatkuasaan keputusan tahap dua Malaysian University English Test (MUET) bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Muhyiddin berkata, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan graduan menyebabkan kerajaan terpaksa mengubah syarat kelulusan MUET bagi kemasukan ke universiti.

Menurutnya, sebelum ini keputusan tahap satu sudah melayakkan untuk mengikuti pengajian di fakulti tertentu, tetapi dalam syarat baru ini perlu sekurang-kurangnya keputusan tahap dua.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:16am
d