mutakhir

Mahu ke klinik nahas pula

Kuala Lumpur: Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang lelaki warga emas terselamat meskipun kereta dipandunya merempuh besi penghadang jalan selepas hilang kawalan di Jalan Bangsar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 60 tahun yang menaiki kereta model Nissan Cefiro terbabas di laluan pejalan kaki berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum di sini, sejurus merempuh deretan besi penghadang jalan.

Mangsa yang masih trauma itu memberitahu dia yang tidak sihat dan dalam perjalanan ke klinik gagal mengawal kenderaan dipandu kerana pitam dan nyaris merempuh seorang pejalan kaki.

“Saya tidak sihat dan pening kepala ketika melalui jalan ini. Tiba-tiba pandangan saya menjadi gelap menyebabkan kereta hilang kawalan dan terbabas.

“Kereta kemudian terbabas dan hampir melanggar seorang pejalan kaki,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, anggota polis trafik dan pasukan Skuad Bantuan Awal ITIS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan.

Difahamkan, pejalan kaki yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Anggota penyelamat terpaksa menggunakan alat hidraulik bagi mengeluarkan besi yang tercucuk di bawah kereta dan mematahkan besi penghadang jalan berkenaan untuk mengeluarkan kereta mangsa.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:18am
d