mutakhir

Anak basah terjaga

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: “Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan kerana air masuk ke dalam rumah dengan cepat ketika kami tidur nyenyak.

“Mujurlah anak saya, Nurul Farisya Qistina, 6, terjaga dari tidur kerana badannya basah lalu mengejutkan kami semua,” kata Suriani Saad, 32, antara mangsa yang terjejas banjir selepas hujan lebat tanpa henti selama lima jam mulai jam 7.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, air mulai naik di kawasan rumah penduduk jam 3 pagi menyebabkan sebanyak 78 keluarga membabitkan 300 penduduk di lima buah kampung terjejas.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Kuala Bakong, Kampung Binjul Luar, Kampung Batu Tujuh, Taman Sheikh Fadzir dan Kampung Masjid Tawar.

Suriani dari Kampung Binjul Luar, Kuala Ketil, berkata rumahnya dimasuki air jam 3 pagi selepas hujan lebat tanpa henti di kawasan berkenaan.

“Hujan lebat berterusan selama lima jam menyebabkan air dari Bukit Hijau melimpah dan melanda kampung menyebabkan semua barangan di dalam rumah tidak sempat diselamatkan.

“Ketika air masuk ke dalam rumah, kami semua sedang tidur dan tersedar apabila salah seorang anak saya terasa badannya basah.

“Saya bergegas bangun dan mengejutkan ahli keluarga yang lain. Masa itu saya nampak air naik dan memasuki dalam rumah paras satu meter. Kami berlari keluar dan menyelamatkan diri menggunakan tali, katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Nazatul Iffah Abdullah berkata, semua mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara iaitu di Surau Kampung Kuala Bakong, Dewan Orang Ramai Binjul Luar, Surau Kampung Batu Tujuh, Surau Taman Sheikh Fadzir dan Masjid Tawar.

Disiarkan pada: October 28, 2014 @ 5:20am
d