mutakhir

Enam peruncit ditangkap

Oleh Nur Saliawati Salberi dan Adnan Mohamad

Kuala Lumpur: Akibat memiliki rokok seludup, enam peruncit ditangkap penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan berasingan ke atas sembilan premis di lapan negeri, semalam dan kelmarin.

Serbuan berkenaan adalah lanjutan ikrar JKDM menerusi Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad pada 5 Mac lalu yang menyifatkan 2014 sebagai 'tahun tindakan' bagi melumpuhkan rantaian aktiviti penyeludupan rokok menerusi Op Outlet dan Op Pacak yang diperhebatkan.

Peruncit ditangkap itu bakal berhadapan tindakan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu mereka yang didapati menjual, menyimpan atau memiliki rokok seludup boleh didenda 10 kali ganda nilai barang dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Di Johor, seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan selepas kastam menemui rokok seludup yang disorok di bawah tangga di premisnya di Taman Kota Masai.

Penguat kuasa merampas 150 karton rokok keretek dan putih bernilai kira-kira RM2,000 membabitkan jenama U2, LA, Suria (Gudang Garam) dan Nusantara yang dijual dengan harga RM3 hingga RM5.

Serbuan jam 1 petang semalam itu adalah kali ketiga dilakukan kastam ke atas kedai runcit berkenaan sejak empat tahun lalu.

Di Selangor, helah seorang warga asing memberikan alasan hanya menyimpan bukan menjual rokok seludup gagal mengaburi pasukan penguat kuasa yang bertindak menahan lelaki itu.

Serbuan itu dilakukan kira-kira jam 3 petang di kedai runcit di Jalan Sabar, Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam.

Siasatan pihak penguat kuasa mendapati rokok seludup berkenaan hanya dijual kepada pelanggan tetap saja bagi mengelak dikesan.

Di ibu negara, seorang peruncit ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Berembang Indah Apartmen, Jalan Bahagia, Kampung Berembang apabila didapati menyimpan kira-kira 100 peket rokok keretek seludup.

Di Kelantan, seorang pekerja wanita berusia 20-an ditahan di sebuah pasar mini Jalan Berangan, Wakaf Bharu di Tumpat kerana terbabit dalam penjualan rokok seludup.

Namun, nasibnya baik apabila pemilik pasar mini itu, seorang lelaki berusia 50-an, mengaku memiliki rokok seludup jenis Gudang Garam untuk dijual dan disimpan di stor belakang kedai menyebabkan dia ditahan.

Di Pulau Pinang, dua individu ditahan masing-masing dalam serbuan berasingan di kedai runcit di Jalan Bagan 23, Taman Bagan serta Lorong Cempa, Butterworth.

Sementara itu, tiada tangkapan dalam serbuan di premis di Batu 6 Kuala Terengganu, Terengganu dan Taman Rambai Jaya, Melaka semalam walaupun ada rampasan beberapa karton rokok ditemui di luar premis itu.

Disiarkan pada: October 29, 2014 @ 5:04am
d