mutakhir

153 peniaga Uptown terima RM1j

Shah Alam: Seramai 153 peniaga Uptown yang terjejas akibat kebakaran dua minggu lalu akhirnya menerima bantuan khas lebih RM1 juta dari Kerajaan Negeri seperti dijanjikan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Amirudin Shari berkata, bantuan itu membabitkan bantuan kewangan bencana serta pinjaman kewangan Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR).

“Hari ini (semalam) kita berjaya selesaikan dua perkara penting iaitu penyampaian sumbangan bantuan dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM76,500 kepada 153 peniaga Uptown terbabit yang mana setiap penerima mendapat sumbangan RM500.

“Kami turut menyediakan pinjaman MiMBAR sebanyak RM930,000 yang mana setakat ini 89 peniaga bersetuju menerima bantuan maksimum RM5,000 sebagai modal perniagaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas kepada Mangsa Kebakaran Uptown Seksyen 24 di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Dr Daroyah Alwi, dan Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah.

Amirudin berkata, proses membaik pulih kompleks berkenaan akan mengambil masa satu hingga dua tahun dan tiada rancangan untuk memindahkan tapak kompleks berkenaan ke lokasi lain setakat ini.

Disiarkan pada: October 29, 2014 @ 5:08am
d