mutakhir

Juara kali ke-3

Oleh Aizat Sharif

Kajang: Pengalaman beraksi dalam siri Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) 1Malaysia sejak bangku sekolah memberi kelebihan kepada Muhamad Afiq Hamizan Norizan, 22, untuk menjuarai pertandingan berkenaan.

Dia bersama rakannya, Muhammad Hafizu Aiman Susoh, 23, yang mewakili Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi dinobatkan sebagai johan kuiz berkenaan kategori IPG yang berlangsung di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi semalam.

Pada peringkat akhir, IPG Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi menewaskan empat lagi kampus IPG lain iaitu Kampus Temenggong Ibrahim Johor Bahru, Kampus Ilmu Khas Kuala Lumpur, Kampus Kota Bharu, Kelantan dan Kampus Perempuan Melayu, Melaka.

“Saya sudah mula menyertai pertandingan kuiz ini pada tahun 2009 iaitu ketika saya berada di peringkat sekolah menengah lagi jadi sedikit sebanyak sudah terdedah dengan pertandingan ini serta senario soalan yang ditanyakan,” kata Muhamad Afiq Hamizan kepada Harian Metro selepas pertandingan itu.

Katanya, dia dan Muhammad Hafizu Aiman sudah melakukan persiapan sejak Ogos lalu sebelum menghadapi pusingan awal.

“Rakan saya juga pernah menyertai kuiz ini beberapa tahun lalu dan ini kali pertama kami digandingkan. Ini beri kelebihan kepada pasukan kami sebagai tuan rumah untuk merangkul kejuaraan ini di hadapan penyokong kami,” katanya.

Rakannya, Hafizu pula memberitahu sudah tiba masanya untuk mereka melatih pelapis mereka untuk saingan tahun hadapan.

“Kami dah lama dalam pertandingan jadi sudah tiba masanya untuk meletakkan pelapis yang mampu menggantikan kami dan mengekalkan kejuaraan di kampus ini,” katanya.

Kedua-dua mereka mendapat jumlah markah sebanyak 39,5231 menewaskan Ooi Jian Feng dan Teo Chee Wei dari Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru yang memperoleh 32,884 markah.

Dayang Nur Farahany Awang Sulaiman dan Ooi Pei Ling dari Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur mendapat tempat ketiga manakala Md Khafizul Awam Md Amran dan Nur Faizurah Abd Karim dari Kampus Kota Bharu, Kelantan serta Nur Azwa Azman dan Maizura Abd Rahim dari Kampus Perempuan Melayu, Melaka mendapat tempat keempat dan kelima.

Ini adalah kemenangan ketiga IPG Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi selepas memenanginya pada tahun 2011 dan tahun lalu.

Dengan kemenangan itu, IPG Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi menerima piala pusingan, piala iringan serta wang tunai RM5,000 sementara Afiq dan Hafizu pula menerima hadiah RM3,000 dalam bentuk unit Amanah Saham Gemilang-Pendidikan (ASG-Pendidikan).

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi PNB Berhad, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Rektor IPG Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sulaiman Wak.

Disiarkan pada: October 29, 2014 @ 5:11am
d