mutakhir

Urus hutang berhemat

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Jumlah hutang negara pada akhir Jun lalu adalah RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bagaimanapun sehingga kini kerajaan sudah membayar balik semua hutang dan bayaran khidmat hutang dengan teratur serta mengikut jadual.

Kata beliau, daripada jumlah berkenaan, 97.1 peratus atau RM552.7 bilion adalah hutang domestik, manakala bakinya RM16.2 bilion atau 2.9 peratus membabitkan pinjaman luar pesisir.

“Kedudukan hutang kerajaan kekal terurus di bawah 55 peratus daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” kata beliau dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang mahu Menteri Kewangan menyatakan hutang negara pada 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014.

Beliau juga meminta menteri terbabit menyatakan hutang negara berbanding dengan KDNK Malaysia setakat September 2014 dan cara kerajaan menjelaskan hutang negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2010 adalah RM407.1 bilion (51.1 peratus daripada KDNK), pada 2011 RM456.1 bilion (51.5 peratus) manakala 2012 RM501.6 bilion (53.3 peratus) dan 2013 pula RM547.6 bilion (54.7 peratus).

Beliau berkata, pengurusan hutang yang berhemat itu kerana pinjaman dibuat hanya untuk membiaya perbelanjaan pembangunan dan setelah mengambil kira kemampuan membayar balik.

“Bayaran khidmat hutang dijangka kekal terurus pada 10.3 peratus daripada hasil, iaitu masih jauh di bawah paras 15 peratus seperti yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal,” kata beliau.

Disiarkan pada: October 29, 2014 @ 5:13am
d