mutakhir

179 perokok dapat kompaun

Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun berjumlah RM44,750 terhadap 179 perokok dalam Operasi Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Siri 7/2014 ‘Ops Hawa Dingin’ yang dilakukan di seluruh negara pada 30 September lalu.

Operasi larangan merokok yang dilakukan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu dijalankan di 888 premis berhawa dingin membabitkan sebanyak 309 tempat makan berhawa dingin termasuk premis makanan segera; 144 kompleks beli-belah dan 435 kedai berhawa dingin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil operasi itu, 179 perokok dikompaun kerana melanggar peraturan larangan merokok.

“Seramai 133 perokok dikompaun kerana merokok di kompleks beli-belah, 45 perokok dikompaun kerana merokok di tempat makan berhawa dingin dan seorang dikompaun kerana merokok di kedai berhawa dingin.

“Mereka dikenakan kompaun minimum RM250 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 17 pemilik premis berhawa dingin turut dikompaun atas kesalahan gagal mempamerkan tanda ‘Larangan Merokok’ di dalam kedai atau tanda yang dipamerkan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Katanya, mereka dikompaun minimum RM250 seorang dan ia membawa kepada nilai keseluruhan berjumlah RM4,250.

“Mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh ditetapkan akan didakwa di mahkamah dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan meneruskan operasi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 secara berkala bagi melindungi orang ramai daripada bahaya merokok.

Disiarkan pada: October 29, 2014 @ 5:13am
d