mutakhir

UiTM cipta satu lagi sejarah

Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi mencipta sejarah apabila Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) di institusi berkenaan menerima anugerah Penyumbang Pendidikan Kewangan Islam Terbaik 2014 di Anugerah Kewangan Islam Dunia (GIFA) 2014.

Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Naib Canselor pusat pengajian tinggi berkenaan Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar pada majlis khas di H Hotel, Dubai.

Menurut Sahol, pihaknya merasa bangga atas anugerah berkenaan kerana ia melonjakkan lagi nama UiTM dalam bidang pendidikan bertaraf dunia.

“Sebagai universiti tempatan, kami sentiasa berusaha menaikkan taraf pendidikan institusi pengajian tinggi ini bagi memberi pendidikan yang lebih berkualiti kepada graduan.

“Ini dapat memastikan penuntut yang tamat kelak dapat bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya semalam.

Menyingkap kembali sejarah ARI, Sahol berkata, ia ditubuhkan pada 2002 oleh kumpulan yang mempunyai minat dalam bidang perakaunan.

Institut itu kemudian diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Pusat Institusi Tinggi Terunggul (HICoE) pada tahun 2009.

“Sebagai pusat pengajian tinggi terunggul, ARI bercita-cita menjadi sebuah pusat penyelidikan antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam (IFC).

“ARI pernah terbabit secara aktif dengan beberapa bidang penyelidikan kewangan Islam, antaranya dalam bidang kewangan mikro syariah, tanggungjawab sosial korporat Islam (i-CSR) dan audit Syariah,” katanya.

Anugerah itu turut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan dari individu dan institusi dalam industri perkhidmatan kewangan Islam dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak antara Pemenang 2014 GIFA.

Disiarkan pada: October 29, 2014 @ 5:18am
d