mutakhir

Pilu lihat ikan terapung

Oleh D J Dolasoh

Gerik: “Kami kesal kerana air di Sungai Rui tercemar disebabkan ada kilang membuang sisa bahan kimia ke dalam sungai di hulu menyebabkan banyak ikan mati dan tidak lagi mahu mudik ke sini.

“Ia menyekat sumber rezeki saya dan lebih 30 pencari ikan loma yang setiap hari menyauk ikan di sungai ini untuk dijual atau untuk dimakan sendiri,” ” kata Melor Ishak, 55.

Melor dari Kampung Bersia Lama di sini antara nelayan sungai yang menjalankan aktiviti menangkap ikan spesies loma di kawasan Sungai Rui sejak 15 tahun lalu bersama berpuluh penduduk lain dari sekitar Gerik.

Mereka menangkap ikan menggunakan penyauk diperbuat daripada buluh dan jaring pukat yang dibentuk bulat bagi menangkap ikan loma yang mudik ke hulu mulai September hingga November setiap tahun.

Melor yang juga ibu tunggal mendakwa sejak awal Oktober lalu dia terkejut apabila mendapati ratusan ikan loma di situ, terapung di permukaan air manakala sebahagian lagi seperti ‘mabuk’ hanyut dibawa arus.

Menurutnya, dia mendapati permukaan air sungai berminyak dan berwarna kehitaman dipercayai tercemar akibat sisa kimia yang dibuang kilang.

“Menitis air mata apabila melihat banyak ikan hanyut di sungai, termasuk yang mabuk menyebabkan saya membatalkan hasrat menyauk ikan di sungai pada hari itu.

“Saya bimbang ikan berkenaan tidak selamat untuk dimakan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 30, 2014 @ 5:10am
d