mutakhir

Berani bertindak di luar kebiasaan

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Serdang: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan penjawat awam bukan saja berfikir di luar kotak, tetapi juga bertindak di luar kebiasaan untuk melahirkan idea kreatif melalui tindakan yang inovatif.

Beliau berkata, penjawat awam daripada pelbagai lapisan perlu berani mencabar status quo serta menyanggah pendekatan konvensional dengan cara menampilkan idea unik di luar kebiasaan.

Katanya, dalam hal berkenaan peranan ketua jabatan sangat penting bagi menyediakan ruang dan peluang kepada warga organisasinya melebarkan horizon pemikiran serta menampilkan inovasi yang bitara (tiada taranya) dalam menyampaikan perkhidmatan.

“Ketua jabatan perlu lebih kreatif dalam menyediakan pelbagai platform untuk menjana dan menggalakkan percambahan idea baru yang sesuai dengan semua lapisan penjawat awam supaya mereka secara sukarela terpanggil mengusahakan sesuatu pembaharuan yang memudahkan tugas mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (HIK JPM) 2014 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

HIK JPM bertujuan memberi pengiktirafan kepada jabatan atau agensi di JPM yang mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang sama ada pengurusan, penghayatan inovasi, sosial dan sukan.

Ia juga salah satu usaha untuk menyemarak pembudayaan inovasi di JPM dalam usaha untuk menjayakan transformasi yang kini giat dilaksanakan dalam perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, ketua jabatan boleh mengusahakan beberapa pendekatan seperti mengadakan sesi percambahan idea, menyediakan peluang kepada kakitangan menyertai latihan serta memberi insentif dan pengiktirafan kepada warga organisasi yang berjaya mencetus perubahan positif.

Menurutnya, melalui cara itu ekosistem inovasi yang positif dapat diwujudkan dengan lebih berkesan di tempat kerja dan pembudayaan inovasi akan bergerak seiring dengan budaya kecemerlangan perkhidmatan.

Dalam pada itu beliau berkata, antara aset utama yang menentukan kejayaan sesebuah negara adalah keupayaan modal insan dan penjawat awam adalah nadi utama yang berperanan sebagai tiang seri negara.

Justeru katanya, penjawat awam perlu mempunyai pemikiran global dalam melaksanakan tugas dengan berkesan, tetapi pada masa sama tidak melupakan asas jati diri serta asas nilai, budaya dan moral yang jitu.

Beliau turut mengingatkan dalam melaksanakan tugas seharian aktiviti kemasyarakatan, sosial dan sukan tidak dilupakan supaya keseimbangan kerja dan pembabitan sosial dapat dicapai.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada jabatan atau agensi yang memenangi anugerah dalam enam kategori.

Disiarkan pada: October 30, 2014 @ 5:17am
d