mutakhir

DNA lelaki Y tidak sepadan

Oleh Murni Wan Omar

Putrajaya: Profil DNA lelaki Y yang diperoleh dari tuala “Good Morning”, berus gigi dan botol air didakwa tidak sepadan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Sangeet Kaur berkata demikian ketika berhujah di dalam prosiding rayuan hukuman penjara lima tahun dikenakan terhadap Anwar, 67, di Istana Kehakiman, di sini, semalam.

Sangeet berkata, berdasarkan diari lokap polis dikemukakan di Mahkamah Tinggi sebelum ini tiada keterangan menunjukkan Anwar menggunakan ketiga-tiga barang itu.

“Ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) 16 Julai 2008, pergerakan Anwar dicatat secara teliti di dalam diari lokap bagi setiap dua jam.

“(Merujuk kepada diari) Jika dilihat tulisan tidak terang bagaimanapun masih boleh dibaca dan antara kandungannya tidur, solat sunat, membaca surah Yassin termasuk Anwar bersandar ke jeriji besi turut dicatat,” katanya.

Menurutnya, terdapat saksi iaitu anggota polis yang menjaga lokap memberitahu ada melihat Anwar pergi ke tandas dan mendengarnya seolah-oleh menggosok gigi.

“Bagaimanapun apabila ditanya sama ada melihat sendiri Anwar memberus gigi, saksi mendiamkan diri.

“Terdapat keterangan secara terus, oleh itu pihak pendakwaan tidak boleh meminta Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menerima keterangan mengikut keadaan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 30, 2014 @ 5:21am
d