mutakhir

Terhumban dalam pembetung air

Pulau Pangkor: Seorang pelancong warga Sri Lanka patah tangan kanan selepas terhumban ke dalam pembetung air sedalam hampir empat meter ketika berbasikal menuruni laluan bercerun di Jalan Pasir Bogak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 petang, mangsa dikenali sebagai Ridigama Wanaratama, 29, dipercayai sedang mengayuh basikal dalam keadaan jalan yang berselekoh serta berbukit sebelum hilang kawalan lalu terhumban ke dalam kawasan pembetung air berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Pegawai Penguasa Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada orang awam pada jam 7.33 malam kelmarin, sebelum bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

“Mangsa terjatuh ke dalam pembetung air sedalam kira-kira tiga meter di tepi jalan itu.

“Dia yang patah tangan kanan kemudian dibawa keluar menggunakan alat pengusung dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pangkor untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Radzi Mat Akhir berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang lagi rakannya kelihatan sedang bersiar-siar menaiki basikal sewa di pantai peranginan Teluk Ketapang, tidak jauh dari pantai Teluk Nipah di sini.

Disiarkan pada: October 30, 2014 @ 5:24am
d