mutakhir

Tunggu Kabinet putus tambang bas ekspres

Kota Bharu: Desakan pengusaha bas ekspres yang mahu tambang dinaikkan bagi menampung kos operasi sedang dalam pemerhatian khusus kerajaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, SPAD sudah mengemukakan cadangan supaya tambang bas dinaikkan mengikut keperluan semasa dan kini masih menunggu keputusan Kabinet berhubung perkara itu.

Katanya, formula tambang baru mengikut kajian SPAD memungkinkan kadar dinaikkan sehingga 30 peratus.

“SPAD memahami situasi pengusaha bas ekspres yang berdepan masalah pengurangan subsidi minyak selain terpaksa menanggung kos lain yang membebankan mereka.

“Jadi kita sudah kemukakan cadangan supaya kadar tambang dinilai semula dan berharap memperoleh keputusan secepat mungkin,” katanya pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Pakaian Seragam Pemandu Bas Ekspres Mutiara, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Abd Ghani Che Kassim dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

Akhbar sebelum ini melaporkan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) menuntut kenaikan sehingga 20 peratus.

Disiarkan pada: October 31, 2014 @ 5:02am
d