mutakhir

Warga Indonesia maut dikelar penyamun

Cyberjaya: Seorang lelaki warga Indonesia yang berstatus pemastautin tetap maut dengan kesan kelar pada leher dipercayai disamun tiga lelaki tidak dikenali di rumah kongsi di tapak projek perumahan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, mangsa Bunawi Dawi, 44, dipercayai ditetak seorang daripada tiga penyamun di kawasan kantin rumah kongsi berkenaan.

Menurut sumber, isteri mangsa dikenali sebagai Saina menghubungi adik lelakinya, Surahno Dimah, 40, untuk memaklumkan mereka disamun tiga lelaki tidak dikenali, dan Bunawi turut ditetak.

“Surahno kemudian ke lokasi kejadian jam 2.30 pagi dan mendapati abang iparnya terbaring berlumuran darah serta terdapat kesan tetakan.

“Dia cuba memanggil abang iparnya, tetapi tiada sebarang reaksi dipercayai sudah meninggal dunia,”katanya.

Sumber berkata, ketika kejadian Bunawi dan isterinya sedang tidur dalam bilik di kantin tapak projek perumahan itu sebelum didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang dengan dua daripadanya bertopeng.

Katanya, penyamun terbabit mengambil barang berharga iaitu gelang dan rantai emas serta sejumlah wang milik mangsa, tetapi seorang daripada penyamun menetak mangsa sebelum melarikan diri.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat kesan tompokan darah pada bilik tempat mangsa ditemui, dan mangsa dipercayai turut bergelut semasa kejadian. Bagaimanapun, tiada senjata ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: October 31, 2014 @ 5:05am
d