mutakhir

Kos laksana GST RM137j

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, kos bagi melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah RM137 juta.

Perdana Menteri berkata, dianggarkan hasil kutipan adalah RM23.2 bilion dengan kadar GST enam peratus.

“Daripada jumlah kutipan itu, RM4.9 bilion disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej bantuan, contohnya tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang mahu Menteri Kewangan menyatakan kos untuk menjalankan kutipan GST di seluruh negara dan jumlah yang dipungut pada tahun pertama pelaksanaan.

Teresa juga mahu mengetahui tindakan terhadap syarikat yang tidak mengutip GST khususnya syarikat kecil.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi syarikat yang mencapai nilai ambang RM500,000, tetapi tidak berdaftar dan tidak memungut GST, pihak terbabit boleh dikenakan denda RM30,000.

Kata beliau, pemilik syarikat juga boleh dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

“Isu GST tidak berbangkit kepada syarikat kecil di bawah nilai ambang RM500,000, selain tidak diwajibkan berdaftar,” kata beliau.

Disiarkan pada: October 31, 2014 @ 5:06am
d