mutakhir

Hanya andaian berlaku tusukan

Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Asmah Rusman

Putrajaya: Pihak pembelaan di dalam prosiding rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan di sini, semalam, mendakwa tidak ada penemuan klinikal kukuh bagi membuktikan berlaku tusukan ke dalam dubur bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Ramkarpal Singh berkata, laporan penemuan tiga doktor perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu Dr Mohd Razali Ibrahim, Dr Siew Sheue Feng dan Dr Khairul Nizam pada 13 Julai 2008 juga menunjukkan tidak ada kesan luka di bahagian dubur Mohd Saiful.

“Calitan diambil di beberapa bahagian Mohd Saiful Bukhari dan ia diserahkan kepada ketiga-tiga doktor bersama borang penyerahan barang bukti mengandungi maklumat di mana ia diambil pegawai penyiasat Superintendan Jude Pereira.

Menjadi pertikaian apabila ketiga-tiga doktor itu tidak dapat memberi komen atau mengetahui mengenai tusukan jika tidak terdapat maklumat di mana setiap calitan itu diambil.

“Pegawai perubatan itu tidak mengubah penemuan mereka sehingga diberikan laporan yang dikemukakan Ahli Kimia Dr Seah Lay Hong. Laporan Dr Seah adalah berdasarkan bukti yang diambil daripada bahagian rektum Mohd Saiful Bukhari. Ketiga-tiga mereka hanya membuat andaian berlaku tusukan berdasarkan laporan Dr Seah,” katanya.

Prosiding rayuan yang masuk hari ketiga semalam, didengar di hadapan panel lima hakim diketuai Tan Sri Md Raus Sharif bersama-sama Tun Arifin Zakaria, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan serta 13 peguam lain iaitu R Sivarasa, N Surendran, Ramkarpal Singh, Sangeet Deo Kaur, J Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.
Sementara itu pendakwaan diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 31, 2014 @ 5:09am
d