mutakhir

Terus suntik aura positif calon buta

Bukan mudah mendidik pelajar yang terhad penglihatannya, apatah lagi buta yang memerlukan kemahiran komunikasi khusus bagi guru normal, malah mungkin lebih sukar jika guru turut mengalami masalah sama.

Semua ini bagaimanapun sekadar tanggapan kerana bagi guru Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur, yakin mampu melahirkan pelajar terbaik yang kelak berupaya memimpin insan normal sekalipun.

“Banyak yang dilakukan bagi memastikan pelajar bersedia menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cemerlang minggu depan. Pembelian alat pembelajaran Olympia untuk setiap calon antara yang dilakukan sebagai latih tubi tambahan buat mereka.”

Demikian kata Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum sekolah terbabit, Ruziyaton Omar yang turut memberitahu mengenai Majlis Restu iaitu sesi bermaafan antara guru dan pelajar.

“Semua persiapan hampir mencapai 100 peratus, namun aura positif dan kata-kata semangat perlu terus disuntik untuk meyakinkan pelajar hinggalah menjelang minit terakhir sebelum peperiksaan,” katanya.

Seramai 29 pelajar sekolah ini bakal menduduki SPM minggu depan dan sasaran supaya semua calon lulus dalam mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah sama seperti 2010 hingga 2012.

Menurut Guru Sejarah dan Literasi Komputer, Zakaria Yahya, beliau yakin pelajar mampu memperoleh keputusan cemerlang sama seperti pelajar normal lain.

Ini kerana beliau sendiri mengalami kebutaan, namun berhasil menjadi pendidik dan Zakaria yakin pelajarnya mampu menjadi lebih baik daripada beliau sendiri.

“Selalu saya tekankan kepada pelajar saya, bukan kesempurnaan fizikal yang akan menjadikan kita dihormati masyarakat tetapi ilmu. Maka berusahalah untuk mencari ilmu kerana ia juga akan mengubah masa depan kita,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2014 @ 5:10am
d