mutakhir

Ancam pembiakan Raflessia

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Aktiviti pertanian tanpa kawalan di tanah tinggi Lojing, Gua Musang dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan bunga Raflessia yang digazetkan di kawasan seluas 404 hektar.

Ketua Program Ekspedisi Saintifik Lojing, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Datuk Dr Ibrahim Che Omar berkata, jika keadaan itu tidak dibendung segera, pembiakan bunga terbesar di dunia itu akan terjejas teruk dan tidak lagi subur.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan kajian bagi menilai kesan pertanian tanpa kawalan di sekitar kawasan yang digazetkan kerajaan untuk pertumbuhan flora itu.

“Pemantauan dibuat sejak tahun lalu mendapati semakin banyak kawasan dibuka untuk pertanian di pinggir hutan berdekatan tapak yang digazetkan untuk Rafflesia ini.

“Malah, Sungai Ber juga sudah menjadi semakin keruh berbanding pada tahun 2008. Kelihatan ekosistem sudah terjejas gara-gara penerokaan tanah.

“Kita bimbang kalau ia dibiarkan dan tiada pemantauan boleh menjejaskan kesuburan bunga ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri, UMK, Tropical Rainforest Conservation & Research Centre Bhd serta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 19, 2014 @ 5:11am
d