mutakhir

Harapan tak putus

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: “Sebagai ibu, saya sentiasa berharap dan berdoa penyakitnya sembuh walaupun doktor beritahu ia tipis,” kata Nurfaten Mohd Yusoff, 25, ibu Olivia Nur Maisara Naqiu Fitri, berusia setahun yang menghidap penyakit hidrosefalus.

Anak bongsu daripada lima beradik itu dilahirkan pada 17 November 2013 dalam keadaan sihat, namun selepas dua minggu, doktor mendapati kepala bayi itu bermasalah kerana saiznya agak luar biasa.

Nurfaten berkata, akibat penyakit itu, kepala anaknya menjadi lebih besar berbanding bayi normal sehingga membataskan pergerakannya dan hanya mampu terbaring.

Katanya, apabila berusia dua bulan, kepala Maisara semakin membesar sehingga perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan cecair.

“Selepas pembedahan, keadaannya tidak berubah, malah kepalanya semakin membesar. Sebagai ibu, jauh di sudut hati masih yakin dia akan sembuh nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di No 9, Jalan Kiaramas, Taman Kiaramas di sini, semalam, sempena majlis ulang tahun kelahiran pertama anaknya itu.

Nurfaten berkata, pihak hospital pernah mencadangkan satu lagi pembedahan, namun dia enggan kerana tidak mahu ambil risiko.

Katanya, sekiranya pembedahan dijalankan, peratusan untuk anaknya sembuh sepenuhnya agak tipis dan dia kini bergantung kepada perubatan alternatif.

“Selepas anak saya makan ubat yang dicadangkan, kepalanya semakin mengecil dan tidak menegang seperti sebelum ini.

“Walaupun perubahannya tidak begitu ketara, namun saya bersyukur dengan perubahan berkenaan,” katanya.

Penderitaan Maisara mendapat perhatian kepimpinan UMNO Bahagian Kluang yang berkunjung ke rumah keluarganya semalam.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang Md Nor Halim Md Amin berkata, pihaknya akan mengusahakan bantuan secara berterusan melalui agensi kerajaan supaya beban keluarga itu dapat diringankan, khususnya kos perubatan.

“Kami akan memantau perkembangan kanak-kanak itu,” katanya selepas menyampaikan bantuan lampin pakai buang serta susu tepung sumbangan Pasaraya Econsave Kluang.

Disiarkan pada: November 19, 2014 @ 5:14am
d