mutakhir

Nyaris buta penangan buku lima

Chukai: Seorang lelaki nyaris buta selepas ditumbuk dengan buku lima oleh suami kepada rakan wanitanya dalam kejadian di Kampung Baru Kiri, Kemasik, di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang cedera di selaput mata itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menjalani pembedahan kecil.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, suspek membelasah mangsa selepas cemburu apabila mengetahui mangsa menjalin hubungan dengan isterinya.

Beliau berkata, kejadian menimpa mangsa diketahui abangnya berusia 24 tahun yang ketika itu berada di rumah mereka di kampung sama selepas dimaklumkan penduduk kampung.

“Sebaik mengetahui adiknya dipukul suspek, abang mangsa bergegas ke lokasi kejadian tidak jauh dari rumah mereka bagi melihat sendiri keadaan mangsa.

“Mangsa berada dalam keadaan separuh sedar dengan beberapa kecederaan pada anggota badan termasuk mata ketika ditemui abangnya.

“Mangsa kemudian dibawa abangnya ke Klinik Kemasik untuk rawatan sebelum pihak klinik meminta mangsa dihantar ke Hospital Kemaman selepas melihat kecederaannya kira-kira jam 9.30 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Che Suza berkata, mangsa dirujuk ke HSNZ Kuala Terengganu selepas cedera pada selaput matanya bagi menjalani pembedahan kecil dan dilaporkan stabil.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca selepas suspek dikatakan cemburu apabila mengetahui mangsa menjalinkan hubungan dengan isterinya.

“Mangsa dipercayai cedera akibat ditumbuk menggunakan buku lima dengan cincin. Siasatan masih dijalankan dan kita sedang mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya, ” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2014 @ 5:15am
d