mutakhir

Indonesia tahan 200 nelayan Malaysia

Jakarta: Kerajaan Indonesia menahan 200 nelayan Malaysia yang didapati menangkap ikan di perairan negara itu semalam iaitu satu langkah yang diambil bagi mengekang kerugian berbilion dolar ke atas ekonomi negara itu, demikian menurut seorang pegawai kanan kerajaan.

Kegiatan menangkap ikan secara haram ini menyebabkan negara berkenaan kerugian hasil AS$25 bilion (RM77 bilion) setahun, kata Setiausaha Kabinet Andi Widjajanto dalam satu temubual khas bersama Reuters.

Tindakan keras diambil ini pasti menimbulkan ketegangan hubungan dalam kalangan negara di rantau ini namun sebagai Presiden baru Indonesia, Joko Widodo perlu bertegas dalam mempertahankan pendekatannya kerana negara itu adalah sektor maritim paling besar di Asia Tenggara.

“Joko Widodo berkata, sektor perikanan Indonesia dalam keadaan kurang baik ...jadi kita perlu pendekatan berani. Ini menyebabkan presiden mengisytiharkan tindakan tegas menangani penangkapan ikan secara haram ini,” kata Widjajanto yang juga pakar pertahanan dan hubungan luar negara.

“Kita cuba memberi mesej yang jelas kepada jiran kita seperti Malaysia dan China, yang mana banyak kapal nelayan mereka beroperasi di perairan negara kami, ini adalah sesuatu yang bukan biasa buat kami,” katanya.

Widjajanto berkata, dia menjangka sekurang-kurangnya 300 lagi nelayan asing ditahan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Ini adalah ketegasan Widodo dalam ucapannya sebelum ini dan beliau mahu kapal nelayan asing yang memasuki perairan negara ini dikaramkan jika didapati memasuki perairan negara itu secara haram.

“Karamkan 10 ke 20 kapal,” Widodo berkata seperti dilaporkan Jakarta Post. “Tindakan itu membuatkan mereka berfikir,” katanya merujuk kepada nelayan asing yang menangkap ikan secara haram.

“Namun perlu diingat, usaha menyelamat nelayan di dalam kapal mesti dibuat dahulu.

“Indonesia juga bercadang membuat bantahan diplomatik ke atas negara yang terbabit sebelum aduan dibuat nelayan yang ditahan itu,” kata Widjajanto.

Indonesia juga bercadang melancarkan pasukan ‘coast guard’ pertengahan Disember ini dalam usaha mengekang kegiatan lanun dan penangkapan ikan secara haram serta menjaga sempadan maritim.

Disiarkan pada: November 20, 2014 @ 5:11am
d