mutakhir

Jalin inovasi pihak akademik, industri

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan dalam usahanya mempertingkatkan produktiviti negara memperkenalkan program Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).

Ketua Setiausaha II kementerian itu Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, program itu antara lain akan mewujudkan kerjasama antara pihak akademik dan industri bagi memperbaiki status kejayaan pengkomersialan produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diharapkan dapat membantu memperkukuh pembangunan ekonomi negara.

“Langkah itu boleh dicapai melalui program inovasi serta pengkomersialan antara kedua-dua pihak yang membabitkan projek berkaitan pembangunan produk, inovasi proses, penambahbaikan proses pengeluaran dan pengurusan rantaian bekalan,” katanya selepas merasmikan bengkel empat hari PPRN bermula Isnin lalu di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, semalam.

Bengkel adalah inisiatif kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC), SME Corp dan industri berkaitan.

“Melalui platform ini, peserta daripada industri akan membentangkan permasalahan berkaitan teknologi dihadapi dalam meningkatkan produktiviti, sementara peserta institusi pengajian tinggi dan penyelidikan negara akan memberi cadangan penyelesaian cara mereka boleh membantu industri menangani masalah itu,” menurut Zaini.

Beliau berkata, selepas kedua-dua pihak, iaitu industri dan akademik, berjaya dipadankan, projek akan dilaksanakan dengan komitmen daripada industri dan PPRN.

PPRN itu menyasarkan 100 penyelesaian masalah berkaitan teknologi yang dihadapi industri menjelang Mac tahun hadapan.

Zaini berkata kejayaan PPRN ini diharapkan dapat mewujudkan ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan melalui penyelidikan gunaan dalam membantu industri meningkatkan produktiviti dan pengetahuan teknologi, seterusnya membolehkan mereka bergerak atas rantaian nilai.

Selain itu program inovasi yang dilaksanakan di bawah PPRN adalah antara langkah bagi memastikan penyelidikan yang dijalankan universiti dan institusi penyelidikan negara sentiasa relevan serta memenuhi keperluan industri selain berkesan dan kos efektif.

Disiarkan pada: November 20, 2014 @ 5:11am
d