mutakhir

AKPK tak lantik orang ketiga

Kuantan: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tidak melantik individu atau pihak ketiga sebagai orang tengah bagi membantu masyarakat mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan bagi pihaknya.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat AKPK Azman Hashim berkata, hampir setiap bulan pihaknya menerima aduan orang ramai yang terpaksa membayar lima hingga 10 peratus daripada jumlah pinjaman mereka selepas menggunakan khidmat AKPK.

Katanya, situasi itu berlaku apabila orang ramai lebih cenderung menggunakan khidmat orang tengah daripada berurusan secara langsung dengan pihak AKPK dalam mendapatkan khidmat nasihat kewangan.

“Kami terima banyak aduan mengenai orang tengah yang mengambil kesempatan mengenakan bayaran tertentuhanya semata-mata untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan.

“Orang tengah itu akan menghubungi mangsa secara rawak dan jika bersetuju menggunakan khidmatnya, pelanggan akan dibawa ke AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat namun bayaran dikenakan mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jumlah pinjaman,” katanya ketika ditemui, semalam.

Azman berkata, orang ramai sepatutnya berurusan terus dengan kakitangan AKPK dengan mengunjungi pejabat berhampiran kerana semua perkhidmatan disediakan adalah percuma.

“Kami komited membantu orang ramai dalam menguruskan kewangan masing-masing secara bijak dan sistematik termasuk memberikan khidmat nasihat menangani masalah bebanan hutang.

“Perkhidmatan disediakan percuma dan tiada bayaran dikenakan. Oleh itu, orang ramai jangan mudah terpedaya jika ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya ada memantau individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan dan tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: November 20, 2014 @ 5:12am
d