mutakhir

Pengarah syarikat tak mengaku khianat

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Petaling Jaya: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, terhadap dua pertuduhan melakukan khianat dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kereta serta membuat ugutan jenayah terhadap seorang pembantu peribadi, tiga hari lalu.

Pengarah syarikat Khoo Kok Ann, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan kereta dan meludah ke arah cermin depan kereta Perodua Kenari putih milik Alisa Thean Wei Yun, 45, membabitkan anggaran kerugian RM40.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap mangsa yang sama dengan menghalang laluan perjalanan.

Kok Ann didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang mana membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 20, 2014 @ 5:19am
d