mutakhir

Banjir tak jejas 5,000 Orang Asli

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang, awal bulan ini tidak menjejaskan lebih 5,000 penduduk Orang Asli di kawasan tanah tinggi itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Penyelidikan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Suhaimi Mahmud berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan di sana dengan teliti.

“Tahap keselamatan di semua 27 kampung Orang Asli di Cameron Highlands terutama pada musim hujan ketika ini dipantau dengan teliti bagi mengelak sebarang musibah biarpun setakat ini tiada yang terjejas.

“Kami juga sentiasa mengingatkan penduduk melaporkan segera sebarang keadaan yang mungkin menyebabkan bencana,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Kanak-Kanak Tabika KEMAS JAKOA di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JAKOA Negeri Sembilan/Melaka Haslin Abu Bakar.

Dalam majlis itu, seramai 191 kanak-kanak berusia enam tahun di negeri ini dan Melaka menerima sijil masing-masing.

Suhaimi berkata, pada tahun lalu, seramai 356 kanak-kanak Orang Asli dari seluruh negara menuntut di Tabika, namun jumlah itu meningkat kepada 481 murid tahun ini.

“Ini menunjukkan masyarakat Orang Asli semakin sedar pendidikan penting untuk menjamin kemajuan hidup mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya secara berterusan membasmi buta huruf dalam masyarakat Orang Asli selain menyalurkan bantuan kewangan, pembiayaan yuran, keperluan asrama dan pengangkutan kepada golongan itu.

Disiarkan pada: November 21, 2014 @ 5:09am
d